Tuesday, December 24, 2013

Dia tahu semuanya! Hebat!

"Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi; 
dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan 
serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui 
segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada;"

(At-Taghaabun 64:4)

Maha Suci Allah Yang Menciptakan Alam ini... 

Monday, December 23, 2013

Buatmu duhai raja sehari...

Assalamu'alaikum sahabat tersayang. 

Musim perkahwinan sedang rancak berlangsung. 
Selamat Pengantin Baru kepada yang baru kahwin & 
yang akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. 

Antara tips untuk mereka yang baru kahwin: 

1. Mengenal diri yang baru
-- Jangan bertindak macam orang yang masih bujang. 
Pasangan akan kecewa & stress.

2. Mengenal pasangan
-- Perangai SEBENAR pasangan akan terserlah bila dah kahwin. 
Belajar untuk menerima dia seadanya.

3. Mencari keserasian dengan pasangan
-- Allah temukan anda untuk lengkap-melengkapkan, 
imbang-mengimbangi, didik-mendidik.

4. Mengimbangi antara rumahtangga dan kerjaya
-- Kecemerlangan di tempat kerja bermula di rumah. 
Bahagiakan rumahtangga untuk cemerlang dalam kerjaya.

5. Memahami & rapatkan hubungan dengan mertua dan ipar duai

6. Belajar kaedah menangani konflik dalam rumahtangga. 
-- Minta nasihat pakar atau orang tua.

7. Belajar untuk menegur pasangan secara hikmah. 
-- Jika tak tegur sejak awal, amat sukar nak tegur di kemudian hari. 
Sentiasa cari masa & tempat yg sesuai, baca doa pelembut hati, 
puji dulu sebelum menegur. In sya Allah dapat di terima pasangan dengan hati terbuka.

8. Menjadi pelengkap (synergy)
-- bantu pasangan utk serlahkan kehebatan dirinya.

9. Belajar memainkan pelbagai peranan
-- Sebagai pasangan, kawan, kekasih, pemimpin, pengikut, 
penasihat, pemujuk, pendorong, pendengar yang setia & pembela setiap masa.

10. Bentuk undang-undang & peraturan dalam rumahtangga 
agar tak ulang kesalahan & tak perlu di tegur selalu.

11. Jaga ibadah dengan sempurna & sentiasa doa mendoakan.

12. Bentuk rutin-rutin romantik 
agar rumahtangga sentiasa ceria & sayang takkan sirna.

13. Belajar untuk tolak ansur & kawal EGO DIRI. 
-- Jika pasangan marah, yang sorang lagi WAJIB SENYAP. 
In sya Allah takkan gaduh. Mana boleh gaduh sorang-sorang, kecuali gila!!!!

14. Berterusan belajar utk cari ilmu ttg rumahtangga.

15. Cari mentor atau penasihat yang dapat dirujuk bila perlu.

Moga Allah rahmati & bahagiakan rumahtangga kita. 
Aameen, wassalam.

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Sunday, December 22, 2013

Alkisah kaca mata


Ketika musim banjir, pakcik Ismail membuat baju dan mendermakan baju kepada mangsa banjir. Satu hari ketika pulang daripada membungkus baju kepada mangsa banjir di masjid, pakcik Ismail mendapati kacamata beliau kehilangan.

Pakcik Ismail memikirkan balik ke mana hilangnya kacamata baru beliau. Rupa-rupanya ia terjatuh ke dalam salah satu bakul baju untuk didermakan ke Pahang.
Pakcik Ismail merasa sedih kerana kacamata baru itu adalah hadiah pertama daripada anak sulungnya yang baru bekerja. Beliau merasa kecewa kerana menghilangkan hadiah dan terpaksa membuat kacamata yang baru.

"Mengapa layan saya begitu, Ya Allah? Saya dah bantu membantu, mengapa hilangkan benda terpenting saya?" rungut Pakcik Ismail di hati.

Setelah enam bulan daripada peristiwa tersebut, pakcik Ismail kebetulan melawat masjid-masjid yang menerima bantuan banjir.

Seorang pakcik tua sedang memberikan ucapan penghargaaan kepada mereka yang mendermakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Ketika itu saya cuba membawa cucu ke atas bot, terdapat satu ombak melanggar saya dan cermin mata saya terjatuh ke dalam air. Saya tidak dapat mencari kerana air deras. Ketika itu, saya cemas memikirkan bagaimana saya hendak melalui saat-saat derita ini, kerana tanpa cermin mata saya, saya cepat sakit kepala. Di kawasan kita, kedai cermin mata pun kena banjir.

Setibanya di masjid ini, saya dan anak saya membuka kotak baju derma. Tergamam saya melihat ada sepasang cermin mata di dalamnya. Power ia sama dengan power cermin mata saya. Saya cukup bersyukur pada mereka yang mendermakan cermin mata itu, dan pada Allah yang menjawab doa saya,” kata atuk itu.

Ahli-ahli masjid yang mendengar terkejut dengan kata-kata atuk kerana ketika menyediakan bantuan, cermin mata bukanlah antara barangan yang diterima untuk dijadikan derma. Dari mana datang cermin mata atuk itu?

Tapi di tepi, mereka melihat ada seorang pakcik mengalirkan air mata. 

Itu adalah pakcik Ismail.

“Ya Allah, maafkan saya. Rupa-rupanya kaca mata saya tidak kehilangan, ia cuma diberikan kepada mereka yang lebih memerlukannya. Maafkan saya kerana bersangka buruk pada-Mu, ya Allah,” bisik di hati pakcik Ismail.

Wahai anakku,
Percayalah ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku. Kebanyakan masa kita tidak akan mengetahui mengapa ia berlaku, tapi percayalah pada Allah, dan bersangka baiklah pada-Nya dan yakinlah ada hikmahnya yang baik untuk kita semua.

Senyum.

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Bekalan buat musafir



Apabila bermusafir, kita memang selalu menyiapkan bekalan paling kurang beg berisi pakaian. Begitu juga ibu mertua saya ini. Ke mana pergi, tak kiralah samada rumah anak kedua, anak ketiga, anak keempat atau yang bongsu, mak mertua saya tak pernah lupa membawa beg ini.

Beg ini mengandungi segala persiapan kematian. Dalamnya ada sepasang telekung untuk dipakaikan bersama kain kapan, ada kain batik panjang untuk dipakai ketika orang memandikannya, ada tuala untuk mengelap selepas mandi, ada tudung putih untuk tutup wajahnya sebaik roh berpisah dengan jasad.

Semua anak menantu telah dipesan, apabila meninggal saja dirinya, bukalah beg itu, semua perkakasan mandi, kapan sudah ada. Mak mertua saya tak mahu menyusahkan anak menantu mencari itu ini bila tiba saat kematiannya. Di mana dia meninggal, di situlah dia dikuburkan.

Mak mertua saya sentiasa menunggu-nunggu Malaikat Izrail datang. Dia sentiasa rindu untuk bertemu Allah Subhanahuwata'ala. Sebab itu tak pernah saya lihat jari berhenti dari mengentel tasbih, bibirnya melafaz zikir.

Setiap kali lepas solat saya peluk mohon ampun, dia juga memohon ampun kepada saya, dia akan kata, "mak dah redha semuanya, dah maafkan semua anak cucu cicit".

Memang jelas diwajahnya tergambar kerinduan tak terucap untuk bertemu Khaliqnya yang Maha Agung dan Maha Perkasa.

Itulah mak mertua saya, semoga rahmat Allah melimpahi atasnya sebelum, semasa dan sesudah kematiannya.

Arwah suaminya pergi sangat mudah, sebelum berpisah roh dan jasad, siap berpesan, "maknya, saya nak pergi jauh ni, ni jam tangan saya, ni duit buat belanja awak, saya nak pergi sorang-sorang aja kali ni, awak tinggallah dengan anak-anak ya, saya redha dan maafkan segala salah silap awak. Saya pun minta maaf dengan awak ya."

Arwah suaminya pergi selepas salam solat isya' dipangkuannya. Itulah mak dan ayah zauj (suami) saya.

Mereka sentiasa mempersiapkan bekalan untuk bermusafir. Mereka sudah menanam pokok-pokok dan sedang membina mahligai di sana untuk mereka kembali tinggal bersama-sama dibawah naungan panji Nabi Muhammad SAW. Adakah kita juga begitu?

 

Saturday, December 21, 2013

Tasawuf

Mendalami ilmu tasawuf bermakna semakin dekat kita dengan Allah sekaligus menjadikan kita lebih baik dalam hubungan antara sesama manusia.

Merasakan kita semakin tinggi bertasawuf sehingga kita tidak setaraf lagi untuk bergaul dengan mesra sesama manusia, masam mencuka dengan orang ramai, tidak bertegur sapa bermakna sebenarnya kita bukan menuntut ilmu tasawuf tetapi 'ilmu koho jauh.'

DrAzman Ibrahim