Saturday, November 30, 2013

Kisah Atuk dan Cucu



Safiah, "Pisang Tok Jamil ini lebat betul buahnya!"

Atuk Profesor, "Ya, ini dipanggil pisang katik. Batangnya rendah, tetapi buahnya banyak."

Safiah, "Atuk Profesor, fasal apa cucu mesti pulang ke kampung menemui atuk? Kenapa tidak atuk saja yang datang?"

Atuk Profesor, "Atuk kebanyakannya sudah tua dan tidak boleh memandu jauh-jauh. Bapa Safiah dan sepupu lain masih muda dan boleh memandu. Lagi pun, Atuk ada banyak cucu, letihlah atuk ..."

Safiah, "Ooooo! Nanti atuk dan nenek penat mengelilingi dunia melihat cucu ... Lebih baiklah atuk duduk di rumah. Semua cucu boleh balik."

Atuk Profesor, "Ya cucunda Safiah, benar! Lagi pun inilah yang akan menjadi kenangan atau memori cucu-cucu ... balik kampung, pergi memancing, kait markisa, panjat pokok manggis, kait rambutan ..."

Safiah, "Ya, yalah Atuk Profesor ... kasihan anak-anak yang tidak ada atuk di kampung. Kenangan mereka hanya pergi ke Giant, MacDonald, Pizza Hut, ... kondo ini dan itu saja ..."

Atuk Profesor, "Cucunda Atuk memang bijak!!!"
___________
Terima kasih Prof Abdullah Hassan atas cerita santai yang sarat dengan nasihat ini.

Friday, November 29, 2013

Hadiah Dari Tukang Sapu

Saya bersara telah hampir 2 tahun. Hari terakhir sebagai ketua pejabat, saya dirai dalam majlis. Ramai pegawai dan kakitangan memanjat tangga pentas memberi hadiah. Selesai majlis, saya berkemas dalam pejabat untuk kali terakhir.

Tiba-tiba pintu diketuk dan seorang wanita tukang sapu tersenyum di pintu. Dia menghulurkan satu bungkusan hadiah kepada saya dengan kata,”Cikgu, saya segan nak bagi hadiah dalam majlis kerana hadiah saya tak seberapa, tak sampai sepuluh ringgit pun. Tapi saya tetap nak beri sebagai ingatan.” Saya agak tersentuh.Saya tahu gajinya cuma Rm450. 


Saya kena terima untuk memenuhi hasratnya. Dia beralih meninggalkan bilik saya dengan baju yang sedikit terkoyak di sedikit hujungnya.. Di rumah ketika isteri dan anak sibuk membuka hadiah, saya memilih untuk membuka hadiah tukang sapu.


Subhanallah! Dia memberi saya senaskah Al Quran. Terlintas dibenak saya, sesungguhnya inilah pesanan dan bekalan yang terbaik dari seorang yang mengasihi kita untuk mengharungi hidup sebagai pesara. Setelah pencen tumpulah kepada ibadat yang lama terabai.


Kini setelah dua tahun,semua hadiah yang diberi oleh rakan telah entah kemana tetapi Qur an hadiah tukang sapu masih menjadi tatapan saya setiap hari. Quran itu saya gunakan secara peribadi di rumah. Kebetulan saya selepas itu ditimpa sakit rosak buah pinggang. Hingga kini entah berapa kali saya khatam dengan Quran itu. 


Satu hari saya terserempak dengan tukang sapu ini di hospital. Memimpin bapanya. Senyumannya membayangkan kepuasan, bila saya katakan hadiahnyalah yang paling berharga. Katanya,”Saya ingin memberi pada cikgu hadiah paling mahal, Quran.” Dia pun berlalu. Saya melihat dia mengangkat hujung tudungnya mengesat lelehan air mata. Mungkin air mata kegembiraan seorang yang sangat ikhlas.


CATATAN:Sesungguhnya bukanlah nilai suatu hadiah itu sebagai satu ingatan, tetapi keikhlasan dalam memberi. Bukanlah taraf menentukan kasih sayang seseorang kepada kita. Seorang tukang sapu boleh menjadi seorang guru kepada kita, seorang yang memberi teguran yang baik kepada kita.


Akhirnya, dari berapa ramai manusia yang saya temui semasa bertugas berpuluh tahun, saya menemui pekerja yang sentiasa diingati kebaikannya, adalah seorang tukang sapu.Wallahuaklam.


KETIKA KITA YANG BERADA MEMBERI HADIAH SUPAYA ORANG MENGINGAT KITA, MEREKA YANG BESAR JIWANYA TAPI MISKIN HARTANYA MENCARI HADIAH SUPAYA PENERIMANYA MENGINGAT ALLAH!

___________________

Terima kasih Cikgu Abd Ghani Haron atas nasihat yang sangat berguna ini... 

Bilakah kiamat akan tiba

Percayalah, kiamat itu pasti tiba, persiapkan diri kita.


Tngkatkan ibadah kepada Allah dan tinggalkan larangannya. 

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, "Bilakah kiamat akan tiba?"

Respons Rasulullah, "Apakah Tuan sudah membuat persiapan yang secukupnya?"


Jawab lelaki itu, "Tidak ada, aku hanya mencintai Pesuruh Allah ..."


Maka Rasulullah memberi respons lagi, "Tuan akan tetap bersama beliau di akhirat nanti!"


Terima kasih Prof Abdullah Hassan atas peringatan ini.

Masa Depan Kita Yang Sebenar

Pesan Tok Guru

Tuesday, November 26, 2013

Berbuat Baiklah Walaupun Dalam Kesusahan

Dua orang pemuda melalui kawasan salji telah tersesat dari kumpulan. Mereka berjalan mencari jalan pulang. Di tengah jalan mereka bertemu seorang yang kesejukan juga tersesat jalan. Mereka berdua berbalah sama ada hendak membawa orang tua ini atau tidak kerana ia tidak boleh berjalan.

Serang dari pemuda itu tidak bersetuju menolong kerana katanya mereka pun dalam kesusahan, manakala pemuda yang seorang lagi tetap mahu menolong, lalu ia menggalas orang tua tersebut. Pemuda yang pertama berjalan dulu meninggal pemuda tersebut. Semakin lama semakin jauh.

Selang beberapa lama berjalan dalam salji itu, pemuda yang menggalas orang tua itu berjumpa suatu tubuh yang terbaring dan hampir tertimbus salji. Bila ia periksa ia mendapati tubuh itu ialah kawannya yang pertama tadi. Ia mati kesejukan. Pemuda itu terus berjalan menggalas orang tua itu. Dia tahu kawannya tidak tertahan kesejukan sedangkan dia boleh berkongsi kepanasan badan dengan orang yang digalasnya. Allah Maha Besar.


Gambar hiasan, dari google

MORALNYA: Berbuat baiklah walaupun kita dalam kesusahan selagi termampu. Perbuatan baik dalam keadaan itu lebih besar ganjarannya. Bersedekah dalam keadaan kita juga memerlukan tentu lebih baik dari keadaan mewah. 

Kisah yang dinukil dalam hadis nabi yang menceritakan sorang yang dahaga di padang pasir, menuruni telaga untnk minum, tiba-tiba dipinggir telaga ia menemui anjing yang kehausan. Ia berusaha mengambil air dengan kasutnya dan memberi anjing itu minum. Dikatakan kerana usahanya itu ia telah diampuni dosanya dan dimasukkan ke syurga. 

Kalau dalam kesusahan pun jangan berhenti berbuat baik pada insan meski pun pada binatang. Siapa tahu, sedangkan Allah Maha Melihat, dan Ia sentiasa menguji hambanya untnk ditempatkan di dalam jannah.

Cerita ini saya copy dari Cikgu Abd Ghani Haron


Monday, November 25, 2013

Dosa Di Tangga Masjid

"Saya menulis kali ini ketika dialisis. Nak sentuh perkara kecil sahaja.

Jumaat lepas ketika ke masjid, saya berhenti di tangga utama masjid memerhati mereka yang datang ke masjid untuk solat Jumaat. Di tangga masjid telah banyak kasut dan selipar diletak dekat tangga oleh orang yang datang awal. 

Seorang jemaah yang tiba saya lihat menolak kasut dan selipar dengan kakinya di tangga untuk meletak kasutnya. Datang seorang lagi pun serupa juga, habis lintang pukang kasut orang yang datang awal.

Seorang ustaz tiba-tiba menepuk bahu saya bertanya apa yang saya sedang fikirkan. Saya bertanya, tidakkah berdosa perbuatan mereka menolak kasut orang lain kerana nak letak kasut sendiri? 

Ustaz ini senyum, berdosa katanya, kerana mereka yang datang awal telah mendapat tempat itu sebagai haknya, sama seperti dia mendapat hak di dalam masjid. Mereka yang menolak kasut orang itu mementing diri. Awak datang lewat, carilah tempat yang kosong untuk letak kasut.

Niat sudah baik, tetapi disertai perbuatan dosa. Ianya kecil, tetapi mungkin menyakiti hati orang lain. Kita kadang tidak sedar kita mengumpul dosa. 

FIKIRKANLAN MEREKA YANG BERUSAHA MENJADI BAIK, MESTILAH MEMIKIRKAN DOSANYA WALAU KECIL."


p/s: pernah berlaku pada saya sendiri, pada bulan Ramadhan lepas, atas sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa pulang awal dari masjid. Sampai di tangga, lebih 15 minit mencari selipar tak jumpa-jumpa lagi sampai hampir berputus asa. Sudahlah di bawah cahaya lampu yang malap.

Dalam berkira-kira mahu sahaja pulang dengan berkaki ayam, ternampak seliparku. Owh, hanya sebelah sahaja! Di mana sebelah lagi? Setelah puas mencari akhirnya jumpa sebelah lagi, jauh dari tempat asal, dalam keadaan selipar terbalik pula. 

Alhamdulillah! 
Gembira kerana dah jumpa balik selipar.
Malu yang teramat sangat kerana ramai lelaki di tangga masjid (pintu masjid tidak berasingan antara lelaki & perempuan).
Sakit hati dengan mereka yang tidak bertanggungjawab menyepak-nyepak selipar orang lain!

Teringat pula suatu ketika dulu, ada majlis solat hajat di rumah Atuk. Selesai majlis, semua tetamu mahu pulang. Alangkah terkejutnya melihat selipar di tangga! Semua tersusun rapi. Alhamdulillah, ada lagi mereka yang baik hati, memudahkan urusan orang lain. Pastilah pahala berganda-ganda buat beliau. Semoga Allah merahmatinya.

Pilihan di tangan kita. Mari sama-sama kita berusaha membuat kebaikan. Pasti Allah suka. =)

Gambar hiasan dari google