Friday, November 29, 2013

Hadiah Dari Tukang Sapu

Saya bersara telah hampir 2 tahun. Hari terakhir sebagai ketua pejabat, saya dirai dalam majlis. Ramai pegawai dan kakitangan memanjat tangga pentas memberi hadiah. Selesai majlis, saya berkemas dalam pejabat untuk kali terakhir.

Tiba-tiba pintu diketuk dan seorang wanita tukang sapu tersenyum di pintu. Dia menghulurkan satu bungkusan hadiah kepada saya dengan kata,”Cikgu, saya segan nak bagi hadiah dalam majlis kerana hadiah saya tak seberapa, tak sampai sepuluh ringgit pun. Tapi saya tetap nak beri sebagai ingatan.” Saya agak tersentuh.Saya tahu gajinya cuma Rm450. 


Saya kena terima untuk memenuhi hasratnya. Dia beralih meninggalkan bilik saya dengan baju yang sedikit terkoyak di sedikit hujungnya.. Di rumah ketika isteri dan anak sibuk membuka hadiah, saya memilih untuk membuka hadiah tukang sapu.


Subhanallah! Dia memberi saya senaskah Al Quran. Terlintas dibenak saya, sesungguhnya inilah pesanan dan bekalan yang terbaik dari seorang yang mengasihi kita untuk mengharungi hidup sebagai pesara. Setelah pencen tumpulah kepada ibadat yang lama terabai.


Kini setelah dua tahun,semua hadiah yang diberi oleh rakan telah entah kemana tetapi Qur an hadiah tukang sapu masih menjadi tatapan saya setiap hari. Quran itu saya gunakan secara peribadi di rumah. Kebetulan saya selepas itu ditimpa sakit rosak buah pinggang. Hingga kini entah berapa kali saya khatam dengan Quran itu. 


Satu hari saya terserempak dengan tukang sapu ini di hospital. Memimpin bapanya. Senyumannya membayangkan kepuasan, bila saya katakan hadiahnyalah yang paling berharga. Katanya,”Saya ingin memberi pada cikgu hadiah paling mahal, Quran.” Dia pun berlalu. Saya melihat dia mengangkat hujung tudungnya mengesat lelehan air mata. Mungkin air mata kegembiraan seorang yang sangat ikhlas.


CATATAN:Sesungguhnya bukanlah nilai suatu hadiah itu sebagai satu ingatan, tetapi keikhlasan dalam memberi. Bukanlah taraf menentukan kasih sayang seseorang kepada kita. Seorang tukang sapu boleh menjadi seorang guru kepada kita, seorang yang memberi teguran yang baik kepada kita.


Akhirnya, dari berapa ramai manusia yang saya temui semasa bertugas berpuluh tahun, saya menemui pekerja yang sentiasa diingati kebaikannya, adalah seorang tukang sapu.Wallahuaklam.


KETIKA KITA YANG BERADA MEMBERI HADIAH SUPAYA ORANG MENGINGAT KITA, MEREKA YANG BESAR JIWANYA TAPI MISKIN HARTANYA MENCARI HADIAH SUPAYA PENERIMANYA MENGINGAT ALLAH!

___________________

Terima kasih Cikgu Abd Ghani Haron atas nasihat yang sangat berguna ini... 

No comments: